Pelajar matrikulasi terus cemerlang

Oleh Khairina Yasin

PENCAPAIAN pelajar Program Matrikulasi Satu Tahun Kementerian Pelajaran terus cemerlang apabila memperoleh 94.7 peratus, meningkat 0.8 berbanding 93.9 pada semester sebelumnya, daripada keseluruhan 21,877 calon yang menduduki peperiksaan semester satu 2008/2009.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata 898 calon atau 4.1 peratus memperoleh status lulus bersyarat apabila mendapat purata nilai gred semester (PNGS) antara 1.50 hingga 1.99, manakala 265 atau 1.2 peratus lagi gagal dengan PNGS kurang 1.50.

Katanya, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang mendahului kolej lain apabila 11.38 peratus calonnya memperoleh keputusan cemerlang PNGS 4.00, diikuti Kolej Matrikulasi Kedah (10.51 peratus) dan Kolej Matrikulasi Johor (10.12 peratus).

“Dari segi pencapaian mengikut jurusan, calon jurusan Sains Fizikal cemerlang dengan kelulusan 94.8 peratus, manakala Sains Hayat, 92.6 peratus dan Perakaunan, 92.8 peratus.

“Selain itu, empat mata pelajaran berjaya mencatat peningkatan dari segi peratus calon lulus keseluruhan iaitu Pengurusan Perniagaan, Biologi, Fizik dan Kimia.

“Sejumlah 95.7 peratus calon lulus dalam mata pelajaran Pengurusan Perniagaan berbanding 93.5 peratus pada semester sebelumnya, Fizik 99.6 peratus (99.5 peratus), Biologi 93.5 peratus (88.9 peratus) dan Kimia 95 peratus (94.1 peratus),” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penguasaan bahasa Inggeris kalangan pelajar juga membanggakan apabila tujuh Kolej Matrikulasi mencatat kelulusan 100 peratus dalam subjek itu.

Kolej terbabit ialah Kolej Matrikulasi Melaka, Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Kolej Matrikulasi Pahang, Kolej Matrikulasi Johor, Kolej Mara Kuala Nerang dan Kolej Mara Kulim.

Sambil menyifatkan pencapaian keseluruhan pelajar amat membanggakan, beliau turut berterima kasih kepada pihak kolej yang berjaya meningkatkan prestasi kecemerlangan pelajar masing-masing.

Pencapaian itu katanya, hasil kerjasama semua pihak terhadap pelaksanaan program intervensi yang sesuai dan berkesan di setiap kolej.

Sumber: Berita Harian (12 Disember 2008)

Advertisements

Matrikulasi rapat jurang dengan bukan Bumiputera


Oleh Sariha Mohd Ali

Program beri pendedahan cukup kepada pelajar sebelum ke IPTA

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata program matrikulasi yang diwujudkan kerajaan berjaya merapatkan jurang antara pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terutama dalam bidang kritikal.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kemasukan pelajar dalam program matrikulasi yang menggunakan kaedah meritokrasi mampu menambah bilangan siswazah Bumiputera dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, seni bina, perakaunan dan pengurusan.

Beliau berkata, sebelum program matrikulasi, pelajar Bumiputera yang cemerlang pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tersekat pada peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang lulusannya didominasi pelajar bukan Bumiputera.

Berikutan itu, katanya, kerajaan akan memastikan program ini berada pada tahap terbaik dari segi pengurusan dan kurikulumnya supaya sentiasa relevan bagi memenuhi keperluan semasa dari dalam dan luar negara.

“Pewujudan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan secara berpusat bagi menggantikan program matrikulasi yang dikendalikan universiti tempatan, ternyata memberi impak dan perubahan amat ketara dalam sistem pendidikan kita.

“Pelajar bukan Bumiputera turut diberi peluang memasuki matrikulasi apabila 10 peratus tempat diberi kepada mereka dan secara tidak langsung, sistem matrikulasi berjaya memberi pendedahan dan persediaan secukupnya kepada pelajar sebelum ke IPTA,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail ketika merasmikan program Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan Kali Ketiga dan pelancaran kemuncak sambutan satu dekad program matrikulasi Kementerian Pelajaran, di Felda Chini Timur, dekat sini, semalam.

Najib berkata, kemudahan di kolej matrikulasi akan sentiasa ditingkatkan, manakala tenaga pengajarnya pula diberi latihan profesional berterusan supaya berkemahiran tinggi dalam ilmu pengetahuan dan pedagogi.

Sumber: Berita Minggu (2 November2008)

Matrikulasi tidak akan dimansuhkan – Najib


PEKAN 1 Nov. – Kerajaan tidak berhasrat sama sekali untuk memansuhkan program matrikulasi yang berjaya mengimbangi bilangan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejak program itu diperkenalkan 10 tahun lalu, ia berjaya merapatkan jurang kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kalangan bumiputera dan bukan bumiputera di IPTA.

Menerusi program itu juga, jelas beliau, jumlah pelajar bumiputera yang menjadi siswazah dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, senibina, perakaunan dan pengurusan turut meningkat.

”Ingin saya jelas dan tegaskan di sini bahawa program matrikulasi tidak akan dimansuhkan sama sekali. Kerajaan mempunyai komitmen penting untuk memastikan program ini terus wujud dalam arus perdana pembangunan negara.

”Janganlah disangsikan tentang program matrikulasi ini. Pemilihan pelajar ke program ini juga menggunakan kaedah meritokrasi yang memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Matrikulasi Bersama Masyarakat di Felda Chini Timur dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.

Najib berkata, sebelum program matrikulasi diperkenalkan, bilangan pelajar bumiputera yang cemerlang di peringkat SPM menghadapi masalah untuk memasuki IPTA yang jumlahnya tidak banyak pada sekitar tahun 1980-an.

”Mereka yang cemerlang tersekat di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sedangkan mereka adalah pelajar bumiputera yang ada potensi dan mampu untuk berjaya ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.

Pada ketika itu, jelasnya, lulusan STPM didominasi pelajar bukan bumiputera.

”Saya percaya pelajar bukan bumiputera juga mendapat kebaikan daripada kaedah ini kerana program matrikulasi ini sudah membuka sepuluh peratus tempat kepada mereka.

”Janganlah bercakap tentang manipulasi program matrikulasi ini kerana hal itu tidak berlaku. Apa yang dilakukan selama ini ialah proses dan sistemnya dikemas kini bagi tujuan mengurangkan kadar keciciran pelajar-pelajar yang berpotensi,” katanya.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, kerajaan sedang merancang untuk menambah bilangan kolej matrikulasi berikutan pertambahan pelajar yang layak setiap tahun.

Setakat ini, jelasnya, terdapat sembilan kolej matrikulasi yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran dan dua kolej seumpama itu milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan akan membina tiga lagi kolej matrikulasi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

”Kolej Matrikulasi Selangor akan memulakan pengambilan pertama pada 2010 diikuti Kolej Matrikulasi Kelantan, Sabah dan Terengganu,” jelasnya.

Selain itu, tambah beliau, empat kolej matrikulasi terawal iaitu di Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah akan dinaik taraf daripada segi fizikal dan kemudahan supaya seiring dengan keperluan semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, seramai 18 pelajar lepasan matrikulasi sesi 2005/2006, 22 pelajar sesi 2006/2007 dan 50 pelajar sesi 2007/2008 terpilih untuk mengikuti Latihan Tenaga Pengajar Program Matrikulasi di United Kingdom baru-baru ini.

”Mereka diberi biasiswa Kementerian Pelajaran dan akan balik ke tanah air nanti sebagai pensyarah di kolej-kolej matrikulasi. Saya yakin ini satu permulaan yang baik dan pada tahun-tahun berikutnya jumlah ini akan ditambah mengikut keperluan,” katanya.

Sumber: Mingguan Malaysia (2 November2008)

Program matrikulasi kekal

PEKAN: Program matrikulasi tidak akan dimansuhkan walaupun pihak tertentu pernah mencadangkan kerajaan meneliti semula pelaksanaannya sebagai satu cara menyalurkan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pihak yang mengeluarkan cadangan itu berpendapat program matrikulasi perlu dimansuhkan dan hanya satu saluran digunakan untuk semua pelajar ke IPTA.

“Dakwaan wujud unsur manipulasi dalam aspek tertentu program matrikulasi dijadikan modal mereka dalam cadangan itu,” katanya dalam ucapan perasmian Program Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan kali ke-3 di Felda Chini Timur dekat sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.

Najib berkata, kerajaan mempunyai komitmen penting untuk memastikan program itu terus wujud dalam arus perdana pembangunan negara kerana jika dilihat komposisi pelajar di IPTA sekarang, sebahagian besar datangnya daripada program matrikulasi.

Katanya, tahun ini genap 10 tahun Kementerian Pelajaran melaksanakan program matrikulasi di seluruh negara dan program itu menjadi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, setiap tahun jumlah pelajar lepasan SPM yang memohon mengikuti program berkenaan semakin bertambah, bukan saja membabitkan kalangan pelajar Bumiputera, malah turut disertai pelajar bukan Bumiputera apabila 10 peratus tempat dibuka kepada mereka.

Beliau meminta tidak timbul rasa sangsi terhadap program matrikulasi kerana pemilihan pelajar menggunakan kaedah meritokrasi yang memberi keadilan kepada semua pihak.

“Janganlah bercakap mengenai manipulasi program matrikulasi ini kerana hal ini tidak berlaku. Apa yang dilakukan selama ini ialah proses dan sistemnya dikemas kini bagi tujuan mengurangkan keciciran pelajar yang berpotensi,” kata Najib.

Sehingga kini ada sembilan buah Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran dan dua Kolej Mara yang menempatkan pelajar program matrikulasi.

Sumber: Harian Metro (2 November 2008)

Sedekad program matrikulasi

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Lulusan cemerlang dan diiktiraf dalam, luar negara

HANYA dalam tempoh 10 tahun Kementerian Pelajaran melaksanakan Program Matrikulasi selepas mengambilalih dalam keadaan ‘serba kekurangan’ daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 1998, banyak kejayaan membanggakan sudah dicapai.

Kejayaan sedekad itu meliputi aspek penyediaan infrastruktur kolej dilengkapi teknologi terkini, kemantapan mutu kurikulum dan pelaksanaan berkesan, serta kecemerlangan lulusannya yang bukan saja mendapat pengiktirafan di dalam negara tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

Antara lain Bahagian Matrikulasi yang diterajui Pengarahnya, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, mendapat pengiktirafan kualiti MS ISO 9001:2000 mencakupi aspek pengurusan dan pengendalian peperiksaan, proses pengurusan pengambilan pelajar serta pengurusan pakej dan pembangunan sumber manusia pada Jun 2004, disusuli semua Kolej Matrikulasi pada Julai 2007.

Bukan itu saja, lulusan program berkenaan turut mengharumkan nama negara dengan mencatat prestasi cemerlang dalam pengajian ijazah pertama di universiti luar negara, termasuk empat pelajar bidang Fizik di University of Surrey, United Kingdom, yang meraih purata nilai gred kumulatif 4.00, sekali gus menduduki tangga pertama, kedua, ketiga dan kelima bagi peringkat keputusan terbaik peperiksaan semester.

Pencapaian itu menepati objektif, terutama menjana pelajar Bumiputera mencukupi bidang profesional dan kritikal di IPTA, melahirkan insan holistik serta pemimpin masa depan cemerlang.

Zainal Abidin, berkata tujuh asas digariskan untuk pengambilalihan program itu daripada IPTA, iaitu membolehkan penstrukturan program yang selaras dan memberi ruang kepada pelajar menentukan universiti pilihan secara terbuka.

Selain itu, katanya, melaksanakan sistem peperiksaan berpusat dan bebas dengan pembabitan organisasi luar untuk penggubalan, penaksiran serta pemeriksaan, di samping pengambilan pelajar secara berpusat dan juga berdasarkan meritokrasi.

Asas seterusnya, beliau berkata, ketidakmampuan IPTA ketika itu untuk mengendalikan program berkenaan sendiri di mana rata-rata mereka terpaksa memfrancais kepada pihak lain sehingga timbul isu pelaksanaannya di premis tidak sesuai seperti rumah kedai.

Pada masa sama, katanya, IPTA dikehendaki memberi tumpuan terhadap kecemerlangan program penyelidikan dan pembangunan sedangkan ramai tenaga pengajar terbabit dalam pengajaran matrikulasi di universiti masing-masing.

Justeru apabila Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak (kini Timbalan Perdana Menteri), bertindak sebagai pengasas Program Matrikulasi kementerian, Zainal Abidin berkata, segala aspek berkaitan kurikulum, peperiksaan dan pembangunan modal insan sentiasa dititikberatkan.

“Dalam konteks ini selain mata pelajaran teras mengikut kursus masing-masing, semua pelajar program ini dikehendaki mengambil subjek wajib, iaitu Kewarganegaraan, Dinamika Kemahiran, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Moral serta Sains Informatik.

“Di samping itu, kegiatan kokurikulum tidak diabaikan bagi menjana pelajar holistik yang memiliki keterampilan dan kemahiran insaniah supaya mereka mampu berdaya saing pada peringkat tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, Bahagian Matrikulasi menggariskan Perancangan Strategik Kecemerlangan yang ditunjangi 13 teras utama dengan pengisian padat, berinovasi dan menepati perkembangan globalisasi.

Teras pertama ialah matrikulasi mengadaptasi, menerima serta mengamalkan prinsip pendidikan abad ke-21, disusuli teras kedua pembestarian program matrikulasi di mana setiap kolej menjadi pusat kecemerlangan berdasarkan kepakaran dan juga kemudahan dimiliki dalam suatu bidang khusus.

Beliau berkata, tujuan penubuhan pusat kecemerlangan berkenaan ialah untuk mencapai matlamat pembangunan, pemerolehan, penggunaan serta pembudayaan.

Berikutan itu, Kolej Matrikulasi Pahang serta Kolej Matrikulasi Pulau Pinang berperanan sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dan Kolej Matrikulasi Kedah (Pusat Kecemerlangan Arkib dan Dokumentasi), Kolej Matrikulasi Perak (Pusat Kecemerlangan Latihan dan Pembangunan Staf), Kolej Matrikulasi Johor dan Kolej Matrikulasi Labuan (Pusat Kecemerlangan Kokurikulum), serta Kolej Matrikulasi Perlis dan Kolej Matrikulasi Melaka (Pusat Kecemerlangan Pembangunan dan Penyelidikan).

Teras ketiga ialah `kejuruteraan akademik’ yang menekankan bahawa proses P&P yang dilaksanakan tidak mengamalkan konsep latih tubi, pembelajaran secara paksa, berorientasikan peperiksaan serta pendekatan pengajaran tradisional.

Sebaliknya, Zainal Abidin berkata, pelajar didedahkan kepada proses P&P berorientasikan sains dan teknologi yang berupaya meningkatkan inovasi, kreativiti serta kemahiran insaniah mereka.

Sumber: Berita Harian (21.7.2008)