Cambahan Inovasi

Merintis usaha membentuk saintis roket negara

Perkembangan Sains Angkasa telah menjadi satu fenomena baru yang telah melanda negara dengan kejayaan angkasawan pertama Malaysia Dr Sheikh Musdzafar Sheikh Shukor menjejakkan kakinya ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Pencapaiannya bukan sahaja mencetuskan gelombang baru dalam bidang Sains Angkasa, malah ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya seperti Sains Roket.

Kolej Matrikulasi Kedah sebagai sebuah institusi pendidikan yang meletakkan Sains sebagai asas penubuhannya tidak ketinggalan turut sama memberikan sokongan terhadap usaha membuka ruang bagi golongan pelajar mendekati bidang ini. Malah, usaha ini telah pun berjalan di KMK semenjak tahun 2003 lagi dengan wujudnya Kelab Astronomi di bawah seliaan dan bimbingan pensyarah-pensyarah Fizik KMK.

Untuk sesi ini, ahli kelab Astronomi telah menganjurkan Pertandingan Roket Air KMK yang terbuka penyertaannya kepada semua pelajar tanpa mengira jurusan. Penyertaan yang diterima amat menggalakkan sehingga beberapa sesi saringan terpaksa diadakan bagi mendapatkan penyertaan terbaik untuk ke peringkat akhir. Sesi saringan telah berlangsung dari 21 hingga 26 Januari 2008 manakala peringkat akhir telah berlangsung pada 26 Januari 2008.

Pihak penganjur telah meletakkan beberapa syarat asas yang perlu diikuti oleh peserta bagi memastikan pertandingan yang berlangsung adalah adil kepada semua pasukan. Pemenang pertandingan dipilih dari kumpulan yang berjaya melancarkan roket mereka dengan jarak yang terjauh.

Apa yang menarik ialah pertandingan ini telah mendapat penyertaan yang hampir samarata daripada pelajar lelaki dan perempuan. Ini membuktikan bahawa minat terhadap bidang ini bukan hanya tertumpu kepada satu gender sahaja. Dengan bimbingan dan panduan yang tepat, kreativiti pelajar dapat ditransformasikan menjadi satu inovasi yang dapat memberikan sumbangan terhadap perkembangan sains dan teknologi negara.

Sekitar pertandingan

Advertisements

Kursus Penjawat Awam Berprestasi Tinggi

Tarikh: 29 November-1 Disember 2007

Tempat: Berjaya Georgetown Hotel, Pulau Pinang

Pembangunan modal insan merupakan salah satu teras utama pembangunan negara menjelang tahun 2010. Selaras dengan itu, pelbagai usaha digerakkan untuk memantapkan serta memperkasakan pengetahuan serta kemahiran kakitangan kerajaan dalam pelbagai aspek. Kolej Matrikulasi Kedah bergerak seiring dengan usaha murni ini dengan menganjurkan Kursus Penjawat Awam Berprestasi Tinggi untuk warganya yang telah dikenalpasti berpotensi untuk menjadi penggerak serta penjana kecemerlangan untuk organisasi.

Tiga orang tokoh akademik dari Universiti Islam Antarabangsa telah dijemput untuk mencambahkan pemikiran serta mengulas tentangn tajuk-tajuk yang berkaitan pembentukan budaya kerja cemerlang, kenisbian ilmu dan etika kerja. Antara tokoh akademik yang dijemput ialah Dr. Farid Shahran, Dr. Ugi Suharto dan Dr. Mohamad Zaini Othman. Kursus yang berlangsung selama tiga hari ini mendapat sambutan positif dari peserta melalui penyertaan aktif dalam sesi perbincangan dan dialog.

Peserta kursus mendengar penerangan
dari Dr Ugi Suharto

LATIHAN PEMBANGUNAN STAF

Kursus Protokol & Etiket untuk warga KMK

Tarikh: 7-9 Jun 2007
Tempat: Cinta Sayang Hotel and Resort, Sungai Petani

Pengetahuan protokol dan etiket sangat penting bagi menonjolkan penampilan imej dan daya pengaruh seseorang ketika berada dalam majlis rasmi. Justeru itu, Unit Dinamika Kemahiran telah mengambil inisiatif bagi menganjurkan Kursus Protokol dan Etiket. Kursus yang berbentuk bengkel ini diadakan khusus untuk semua ketua jabatan, ketua unit dan PPPS Gred DG44. Ia bertujuan untuk memantapkan pengetahuan sedia ada serta memberi pendedahan baru tentang aspek-aspek protokol yang melibatkan majlis-majlis rasmi kerajaan.

Selain dari menyediakan pengetahuan asas mengenai protokol dan etiket secara teori kepada semua peserta, mereka juga berpeluang mengaplikasi pengetahuan berkaitan etiket, protokol dan komunikasi berkesan dalam situasi rasmi dan tidak rasmi melalui sesi-sesi yang diatur khusus. Penganjuran kursus ini adalah selari dengan usaha menaikkan imej Kolej Matrikulasi kedah agar berketrampilan unggul dan berkarisma tinggi ketika menghadiri sebarang majlis.

Peserta sedang menjalani praktikal etiket
dan protokol di meja makan