MAYANG dekati pelajar luar bandar di SK Langgar

Program MAYANG (Masih Ada Yang Sayang) 2008 telah berlangsung dari 29 Feb-1 Mac 2008 di sekolah Kebangsaan Langgar, Langgar, Kedah. Program murni ini bertujuan untuk memberi motivasi terhadap pelajar-pelajar Tahun 6 sekolah berkenaan yang akan menghadapi peperiksaan UPSR tahun ini.

Program berbentuk khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh Unit Kaunseling & Kerjaya KMK ini melibatkan seramai 20 orang ahli PRM (Pembimbing Rakan Mentee) dan 2 orang kaunselor. Menurut En Zaidi Man (Kaunselor Penyelaras Program MAYANG), semua ahli PRM yang menyertai program ini telah diberi latihan khusus dari aspek komunikasi berkesan dan teknik kaunseling rakan sebaya.

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah Bengkel teknik Menjawab Matematik. Bengkel ini diadakan khusus untuk meningkatkan kemahiran pelajar menjawab soalan dengan menggunakan teknik yang betul, berkesan dan cepat. Setiap ahli PRM diamanahkan dengan tugas membimbing tiga orang pelajar.

Ternyata program seumpama ini bukan sahaja berupaya memberi impak yang positif untuk pelajar-pelajar luar bandar, tetapi ia juga dapat membantu pembinaan jatidiri yang tinggi dan pemupukan rasa tanggungjawab di kalangan pelajar matrikulasi.

Sesi bimbingan teknik menjawab Matematik
oleh ahli PRM KMK

Advertisements

Pelajar KMK sertai MBM 2007

Seramai 20 orang pelajar KMK telah terpilih menyertai Program Matrikulasi Bersama Masyarakat peringkat kebangsaan di parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang. Program yang dianjurkan bersama kerajaan negeri Pulau Pinang ini telah disempurnakan pelancarannya oleh tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman b Abbas pada 10 November 2007 di dewan Milenium, Kepala Batas.

Program yang bermula dari 9 hingga 16 November 2007 ini telah melibatkan penyertaan 200 keluarga dari 3 kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bertam, Penaga dan Lahar Yoi. Kesemua keluarga ini telah menjadi keluarga angkat bagi pelajar-pelajar yang terpilih. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti gotong-royong, forum perdana hal ehwal Islam, ceramah keibubapaan, sukaneka dan kenduri kampung.

Pengajuran program ini oleh Bahagian Matrikulasi membuktikan bahawa hubungan yang erat antara institusi pendidikan dan komuniti boleh dipupuk secara positif untuk kebaikan bersama. Di samping dapat menanamkan kesedaran tentang peranan dan tanggungjawan pelajar terhadap kelangsungan bangsa, agama dan negara, kesedaran terhadap perkembangan pendidikan negara juga boleh dipupuk di kalangan ahli komuniti.

Penyerahan anak angkat oleh TYT YDP
negeri Pulau Pinang