Program matrikulasi kekal

PEKAN: Program matrikulasi tidak akan dimansuhkan walaupun pihak tertentu pernah mencadangkan kerajaan meneliti semula pelaksanaannya sebagai satu cara menyalurkan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pihak yang mengeluarkan cadangan itu berpendapat program matrikulasi perlu dimansuhkan dan hanya satu saluran digunakan untuk semua pelajar ke IPTA.

“Dakwaan wujud unsur manipulasi dalam aspek tertentu program matrikulasi dijadikan modal mereka dalam cadangan itu,” katanya dalam ucapan perasmian Program Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan kali ke-3 di Felda Chini Timur dekat sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.

Najib berkata, kerajaan mempunyai komitmen penting untuk memastikan program itu terus wujud dalam arus perdana pembangunan negara kerana jika dilihat komposisi pelajar di IPTA sekarang, sebahagian besar datangnya daripada program matrikulasi.

Katanya, tahun ini genap 10 tahun Kementerian Pelajaran melaksanakan program matrikulasi di seluruh negara dan program itu menjadi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, setiap tahun jumlah pelajar lepasan SPM yang memohon mengikuti program berkenaan semakin bertambah, bukan saja membabitkan kalangan pelajar Bumiputera, malah turut disertai pelajar bukan Bumiputera apabila 10 peratus tempat dibuka kepada mereka.

Beliau meminta tidak timbul rasa sangsi terhadap program matrikulasi kerana pemilihan pelajar menggunakan kaedah meritokrasi yang memberi keadilan kepada semua pihak.

“Janganlah bercakap mengenai manipulasi program matrikulasi ini kerana hal ini tidak berlaku. Apa yang dilakukan selama ini ialah proses dan sistemnya dikemas kini bagi tujuan mengurangkan keciciran pelajar yang berpotensi,” kata Najib.

Sehingga kini ada sembilan buah Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran dan dua Kolej Mara yang menempatkan pelajar program matrikulasi.

Sumber: Harian Metro (2 November 2008)

%d bloggers like this: