Matrikulasi tidak akan dimansuhkan – Najib


PEKAN 1 Nov. – Kerajaan tidak berhasrat sama sekali untuk memansuhkan program matrikulasi yang berjaya mengimbangi bilangan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejak program itu diperkenalkan 10 tahun lalu, ia berjaya merapatkan jurang kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kalangan bumiputera dan bukan bumiputera di IPTA.

Menerusi program itu juga, jelas beliau, jumlah pelajar bumiputera yang menjadi siswazah dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, senibina, perakaunan dan pengurusan turut meningkat.

”Ingin saya jelas dan tegaskan di sini bahawa program matrikulasi tidak akan dimansuhkan sama sekali. Kerajaan mempunyai komitmen penting untuk memastikan program ini terus wujud dalam arus perdana pembangunan negara.

”Janganlah disangsikan tentang program matrikulasi ini. Pemilihan pelajar ke program ini juga menggunakan kaedah meritokrasi yang memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Matrikulasi Bersama Masyarakat di Felda Chini Timur dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.

Najib berkata, sebelum program matrikulasi diperkenalkan, bilangan pelajar bumiputera yang cemerlang di peringkat SPM menghadapi masalah untuk memasuki IPTA yang jumlahnya tidak banyak pada sekitar tahun 1980-an.

”Mereka yang cemerlang tersekat di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sedangkan mereka adalah pelajar bumiputera yang ada potensi dan mampu untuk berjaya ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.

Pada ketika itu, jelasnya, lulusan STPM didominasi pelajar bukan bumiputera.

”Saya percaya pelajar bukan bumiputera juga mendapat kebaikan daripada kaedah ini kerana program matrikulasi ini sudah membuka sepuluh peratus tempat kepada mereka.

”Janganlah bercakap tentang manipulasi program matrikulasi ini kerana hal itu tidak berlaku. Apa yang dilakukan selama ini ialah proses dan sistemnya dikemas kini bagi tujuan mengurangkan kadar keciciran pelajar-pelajar yang berpotensi,” katanya.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, kerajaan sedang merancang untuk menambah bilangan kolej matrikulasi berikutan pertambahan pelajar yang layak setiap tahun.

Setakat ini, jelasnya, terdapat sembilan kolej matrikulasi yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran dan dua kolej seumpama itu milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan akan membina tiga lagi kolej matrikulasi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

”Kolej Matrikulasi Selangor akan memulakan pengambilan pertama pada 2010 diikuti Kolej Matrikulasi Kelantan, Sabah dan Terengganu,” jelasnya.

Selain itu, tambah beliau, empat kolej matrikulasi terawal iaitu di Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah akan dinaik taraf daripada segi fizikal dan kemudahan supaya seiring dengan keperluan semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, seramai 18 pelajar lepasan matrikulasi sesi 2005/2006, 22 pelajar sesi 2006/2007 dan 50 pelajar sesi 2007/2008 terpilih untuk mengikuti Latihan Tenaga Pengajar Program Matrikulasi di United Kingdom baru-baru ini.

”Mereka diberi biasiswa Kementerian Pelajaran dan akan balik ke tanah air nanti sebagai pensyarah di kolej-kolej matrikulasi. Saya yakin ini satu permulaan yang baik dan pada tahun-tahun berikutnya jumlah ini akan ditambah mengikut keperluan,” katanya.

Sumber: Mingguan Malaysia (2 November2008)

%d bloggers like this: