Kolej Matrikulasi Perlu Dimantapkan

Ibu bapa dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tentu berasa lega apabila kerajaan mengumumkan tambahan 17.2 peratus tempat belajar untuk mengikuti program diploma dan kursus persediaan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2008/09. Bagi kemasukan kali ini, sejumlah 30,757 pelajar terpilih daripada seramai 156,024 calon yang memohon berbanding 25,476 tahun lalu.

Mereka yang berjaya mendapat tawaran ke IPTA tentu gembira, tetapi yang gagal tidak harus berputus asa kerana peluang belajar masih ada menerusi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan kolej kemahiran. Berdasarkan tawaran itu, sejumlah besar pelajar lepasan SPM menyertai program diploma di IPTA, manakala selebihnya ditawarkan mengikuti Program Persediaan di Kolej Matrikulasi dan institusi yang menawarkan program asasi bagi pengambilan pelajar untuk mengikuti ijazah pertama.

Ramai yang menyokong langkah Kementerian Pelajaran memperkenalkan program dua tahun kepada pelajar Matrikulasi dan Kursus Asasi bagi membolehkan pelajar yang ‘lambat’ tahap penguasaannya turut berpeluang melanjutkan pelajaran ke IPTA selepas menamatkan program ditetapkan, selain mengekalkan program ekspres setahun.

Sekiranya kaedah digunakan berjaya, mungkin pada perancangan masa depan kelas Tingkatan Enam yang selama ini dijalankan di sekolah menengah atas, secara beransur-ansur dihapuskan bagi membolehkan semua pelajar menyertai Kolej Matrikulasi dan Asasi. Mungkin pandangan ini, tidak digemari sesetengah guru yang kini mengajar di Tingkatan Enam, namun akan tiba masanya apabila Kolej Matrikulasi dimantapkan, ia memberi peluang lebih baik kepada semua lepasan SPM berkelayakan untuk memasuki program persediaan selama satu atau dua tahun sebelum melanjutkan pengajian ijazah pertama atau diploma di IPTA.

Sekiranya dilaksanakan, sekolah mempunyai ruang yang cukup untuk mendidik pelajar sehingga ke Tingkatan Lima, secara lebih tersusun dan berkesan. Namun, kita memerlukan lebih banyak Kolej Matrikulasi dibina bagi menampung pelajar yang tentunya bertambah setiap tahun. Kini, pertindihan berlaku antara program persediaan untuk ke IPT, sama ada melalui Tingkatan Enam atau Kolej Matrikulasi dan Asasi, yang masing-masing mempunyai matlamat sama, iaitu untuk memilih pelajar melanjutkan pengajian ke IPTA.

Dalam hal ini, terpulang kepada kerajaan dan universiti untuk mengelak pertindihan berterusan, sebaliknya memantapkan hanya satu program persediaan supaya pelajar tidak bimbang masa depan mereka.

Dalam pada itu, kita turut meminta pihak berkuasa memantau perkembangan di IPTS berikutan ada sesetengahnya mengambil pelajar secara tangkap muat bagi memastikan mereka mempunyai pelajar yang mencukupi bagi menjalankan sesuatu program. Ia dilakukan bagi mengelakkan institusi berkenaan kekurangan pelajar yang turut menjejaskan pentadbiran kerana kekurangan sumber kewangan. Pihak berkuasa harus memantau perkembangan ini kerana jika berterusan, ia bukan saja menjejaskan masa depan pelajar, malah memberi kesan kepada negara yang berusaha menjadi pusat pendidikan terunggul di rantau ini.

Kita berharap pelajar lepasan SPM yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA, tetapi tidak menggemari kursus ditawarkan tidak kecewa, sebaliknya harus bersyukur kerana ramai lagi rakan mereka tidak terpilih. Belajarlah dengan tekun ketika mengikuti kursus ditawarkan. Bagi pelajar tidak terpilih, peluang mereka belajar dalam bidang kemahiran masih terbuka. Banyak institusi kemahiran dianjurkan kerajaan dan swasta sedia menerima mereka untuk dilatih dalam kemahiran tertentu yang sesuai dengan minat dan pasaran kerja.

Sumber : Minda Pengarang Berita Harian

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: