MAYANG dekati pelajar luar bandar di SK Langgar

Program MAYANG (Masih Ada Yang Sayang) 2008 telah berlangsung dari 29 Feb-1 Mac 2008 di sekolah Kebangsaan Langgar, Langgar, Kedah. Program murni ini bertujuan untuk memberi motivasi terhadap pelajar-pelajar Tahun 6 sekolah berkenaan yang akan menghadapi peperiksaan UPSR tahun ini.

Program berbentuk khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh Unit Kaunseling & Kerjaya KMK ini melibatkan seramai 20 orang ahli PRM (Pembimbing Rakan Mentee) dan 2 orang kaunselor. Menurut En Zaidi Man (Kaunselor Penyelaras Program MAYANG), semua ahli PRM yang menyertai program ini telah diberi latihan khusus dari aspek komunikasi berkesan dan teknik kaunseling rakan sebaya.

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah Bengkel teknik Menjawab Matematik. Bengkel ini diadakan khusus untuk meningkatkan kemahiran pelajar menjawab soalan dengan menggunakan teknik yang betul, berkesan dan cepat. Setiap ahli PRM diamanahkan dengan tugas membimbing tiga orang pelajar.

Ternyata program seumpama ini bukan sahaja berupaya memberi impak yang positif untuk pelajar-pelajar luar bandar, tetapi ia juga dapat membantu pembinaan jatidiri yang tinggi dan pemupukan rasa tanggungjawab di kalangan pelajar matrikulasi.

Sesi bimbingan teknik menjawab Matematik
oleh ahli PRM KMK