Cambahan Inovasi

Merintis usaha membentuk saintis roket negara

Perkembangan Sains Angkasa telah menjadi satu fenomena baru yang telah melanda negara dengan kejayaan angkasawan pertama Malaysia Dr Sheikh Musdzafar Sheikh Shukor menjejakkan kakinya ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Pencapaiannya bukan sahaja mencetuskan gelombang baru dalam bidang Sains Angkasa, malah ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya seperti Sains Roket.

Kolej Matrikulasi Kedah sebagai sebuah institusi pendidikan yang meletakkan Sains sebagai asas penubuhannya tidak ketinggalan turut sama memberikan sokongan terhadap usaha membuka ruang bagi golongan pelajar mendekati bidang ini. Malah, usaha ini telah pun berjalan di KMK semenjak tahun 2003 lagi dengan wujudnya Kelab Astronomi di bawah seliaan dan bimbingan pensyarah-pensyarah Fizik KMK.

Untuk sesi ini, ahli kelab Astronomi telah menganjurkan Pertandingan Roket Air KMK yang terbuka penyertaannya kepada semua pelajar tanpa mengira jurusan. Penyertaan yang diterima amat menggalakkan sehingga beberapa sesi saringan terpaksa diadakan bagi mendapatkan penyertaan terbaik untuk ke peringkat akhir. Sesi saringan telah berlangsung dari 21 hingga 26 Januari 2008 manakala peringkat akhir telah berlangsung pada 26 Januari 2008.

Pihak penganjur telah meletakkan beberapa syarat asas yang perlu diikuti oleh peserta bagi memastikan pertandingan yang berlangsung adalah adil kepada semua pasukan. Pemenang pertandingan dipilih dari kumpulan yang berjaya melancarkan roket mereka dengan jarak yang terjauh.

Apa yang menarik ialah pertandingan ini telah mendapat penyertaan yang hampir samarata daripada pelajar lelaki dan perempuan. Ini membuktikan bahawa minat terhadap bidang ini bukan hanya tertumpu kepada satu gender sahaja. Dengan bimbingan dan panduan yang tepat, kreativiti pelajar dapat ditransformasikan menjadi satu inovasi yang dapat memberikan sumbangan terhadap perkembangan sains dan teknologi negara.

Sekitar pertandingan

%d bloggers like this: