Kertas kajian KMK mendapat pengiktirafan

Hubungan antara Nilai Mula dengan PNGK pelajar-pelajar jurusan Sains Fizikal dan Sains Hayat KMK

Seminar Penyelidikan Pendidikan Program Matrikulasi yang telah b erlangsung di Hotel Grand Kampar, Perak pada 26 hingga 29 November 2007 telah menyaksikan 60 kertas kajian hasilan warga Program Matrikulasi dibentangkan. Dari keseluruhan kertas kajian, beberapa kertas kajian telah dipilih untuk menerima Anugerah Penyelidikan terbaik. Antarannya ialah kertas penyelidikan yang dihasilkan oleh YM Tuan Haji Raja Sulaiman b Raja Hassan iaitu Hubungan Antara Nilai Mula dengan Purata Nilai Gred Kumulatif pelajar-pelajar Kolej Matrikulasi Kedah.

Penyampaian Anugerah oleh Pengarah BMKPM

Kajian ini bertujuan menentukan hubungan antara Nilai Mula dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) pelajar-pelajar jurusan Sains Fizikal dan Sains Hayat Kolej Matrikulasi Kedah sesi 2005/2006. Nilai Mula bermaksud hasil tambah gred mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Kimia dan Fizik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelajar-pelajar jurusan Sains Fizikal dan hasil tambah gred mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Kimia dan Biologi SPM bagi pelajar-pelajar jurusan Sains Hayat.

PNGK pula ialah kaedah penilaian pencapaian pelajar di akhir sesi Program matrikulasi. PNGK pelajar-pelajar jurusan Sains Fizikal ditentukan oleh gred mata pelajaran Matematik, Kimia dan Fizik, manakala pelajar-pelajar jurusan Sains Hayat pula mengambil kira mata pelajaran matematik, Kimia dan Biologi dalam peperiksaan semester Program Matrikulasi dan penilaian-penilaian lain yang berkaitan.

Sampel kajian melibatkan seramai 1006 orang pelajar jurusan sains Fizikal yang terdiri daripada 904 orang pelajar Bumiputera dan 102 orang pelajar Bukan Bumiputera. Pelajar jurusan sains Hayat pula seramai 921 orang yang terdiri daripada 824 orang pelajar Bumiputera dan 97 orang pelajar Bukan Bumiputera. Dapatan kajian menunjukkan wujud hubungan positif yang signifikan pada aras keertian dua hujung p<0.01 antara Nilai Mula dengan PNGK pelajar-pelajar jurusan sains Fizikal dan Sains Hayat. Pekali Spearman’s rho bagi kedua-dua hubungan itu masing-masing 0.556 dan 0.692.

Kajian juga mendapati wujud hubungan positif yang signifikan pada aras keertian dua hujung p<0.01 antara Nilai Mula dengan PNGK pelajar-pelajar Bumiputera dari jurusan Sains Fizikal dengan Pekali Spearman’s rho 0.441 dan tiada hubungan yang signifikan pada aras keertian dua hujung p<0.01 antara Nilai Mula dengan PNGK pelajar-pelajar Bukan Bumiputera dari jurusan Sains Fizikal. Kajian juga mendapati wujud hubungan positif yang signifikan pada aras keertian dua hujung p<0.01 antara Nilai Mula dengan PNGK pelajar-pelajar Bumiputera dan Bukan Bumiputera jurusan sains Hayat. Pekali Spearman’s rho bagi kedua-dua hubungan itu masing-masing 0.625 dan 0558.

Pelajar Bumiputera Sains Hayat dan Sains Fizikal yang berbekalkan Nilai Mula antara 4-6 mampu lullus dengan menapai PNGK sekurang-kurangnya 2.01 manakala pelajar-pelajar Bukan Bumiputera pula sekurang-kurangnya 3.01. Sebilangan pelajar Bumiputera Sains Fizikal yang berbekalkan Nilai Mula lebih daripada 12 masih mampu mencapai PNGK sekurang-kurangnya 3.51 tetapi tiada pelajar Bumiputera Sains Hayat yang mencapai PNGK itu.

Cadangan penambahbaikan dari kertas kajian ini ialah:

1. Nilai Mula diterima sebagai satu indikator atau kriteria menentukan jurusan pelajar sains Program Matrikulasi. Pelajar-pelajar yang mencapai Nilai Mulanya (hasil tambah gred Matematik, Matematik Tambahan, Kimia dan Biologi) sekurang-kurangnya 12 layak dipertimbangkan ke jurusan sains Hayat. Pelajar-pelajar jurusan Sains Fizikal pula dipertimbangkan daripada kalangan pelajar yang Nilai Mulanya (Hasil tambah gred matematik, matematik Tambahan, Kimia dan Fizik) lebih daripada 4.

2. Kajian ini mendapati Nilai Mula mempunyai hubungan positif yang signifikan dengan PNGK kecuali pelajar-pelajar Bukan Bumiputera Sains Fizikal. Oleh itu dicadangkan supaya setiap pelajar jurusan sains dikenalpasti Nilai Mula masing-masing di awal sesi pengajian lagi. Maklumat ini penting kerana pelajar yang berbeza Nilai Mulanya mungkin memerlukan strategi mengajar/belajar atau mendapat khidmat sokongan yang berbeza.

%d bloggers like this: